KUCHING: Sarawak akan mewujudkan sebuah kilang hidrogen pertama di Samalaju, Bintulu pada tahun ini.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni berkata, pembinaan kilang itu melibatkan kerjasama antara kerajaan Sarawak dan syarikat dari Jepun dan Korea iaitu Sumitomo Corporation dan Samsung.
“Kita akan memulakan kerja-kerja pembinaan kilang hidrogen ini pada tahun ini dan ia dijangka mengambil tempoh dua hingga tiga tahun untuk siap nanti.
“Apabila siap, ia akan digunakan untuk menghasilkan tenaga hidrogen. Selain kegunaan negeri, ia juga akan dieksport ke negara-negara Eropah seperti Jerman dan Perancis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia anjuran bersama ZHA Environmental Sdn Bhd (ZHA) dan Sar-Alam Indah Sdn Bhd (SAl) di Mydin Tunku Vista Petra Jaya di sini, hari ini.
Dr Hazland berkata, penggunaan hidrogen dijangka akan menjadi sumber tenaga utama pada masa akan datang. Oleh itu katanya, Sarawak berada di landasan yang betul dengan penubuhan kilang hidrogen itu nanti.
“Kita bertuah kerana Sarawak dianugerahkan dengan pelbagai sumber asli, justeru ia perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk kepentingan negeri.
“Dengan usaha ini, kita bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan minyak dan gas dari negara negara luar, malah mengeksport sendiri hidrogen kepada negara yang memerlukan sekali gus mengaut hasil untuk Sarawak,” katanya.
Pada majlis itu, Dr Hazland turut melancarkan ‘Sarawak Environmental Awareness’ di laman Facebook yang akan dikendalikan oleh syarikat ZHA dan SAl.
Ia diwujudkan sebagai platform untuk berkongsi maklumat tentang inisiatif dan aktiviti alam sekitar yang berterusan di Sarawak.