Borneo International Water & Wastewater Exhibition & Conference 2022

18 October, 2022

by Utusan Borneo

KUCHING: Para pengilang di Sarawak digalak mendapatkan lesen bagi pensijilan produk Sirim Eco-Label.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Weida Dato Lee Choon Chin (gambar) berkata tanda Sirim Eco-Label menandakan bahawa produk itu disahkan sebagai produk mesra alam.

“Sudah tentu jika produk mesra alam ia diperbuat daripada bahan mentah kepada aliran kerja pembuatan dan amalan dalam penghasilannya adalah mesra alam.

“Jika lebih banyak pengeluar berupaya mendapatkan Eco-Label ini, bermakna proses pengeluaran mereka bebas daripada pencemaran atau pelepasan gas hijau.

“Ini akan menjadi usaha bersama yang baik oleh semua orang, bukan hanya satu pemain atau sektor tetapi secara keseluruhan, ia akan menjadi sumbangan kepada keseluruhan alam sekitar,” tegasnya.

Beliau sebelum itu telah menerima pensijilan Eco Label daripada Pengarah Wilayah Sirim Kasvenda Kassim di sebuah hotel di sini semalam.

WEIDA memperoleh pensijilan Eco Label bagi Sistem Paip Plastik Sirim Eco 054:2016 untuk paip berprofil Floline 3W High Density Polyethylene (HDPE).

Majlis penyerahan itu diadakan di tapak pameran pihak Weida di BIWWEC dan disaksikan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni.

WEIDA sebelum ini telah melancarkan sistem paip Floline FLEXISS baharu iaitu sebuah rangkaian paip lanjutan daripada paip berprofil FLOLINE 3W HDPE sedia ada pihaknya.

Floline 3W HDPE diterima secara meluas dan digunakan sebagai pembetung saliran di Sarawak sejak 20 tahun lalu.

Kerajaan Sarawak telah memberi tumpuan untuk menambah baik dan menaik taraf sistem saliran bandar di Sarawak.

Dalam usaha mengurangkan banjir kilat, salah satu penyelesaiannya adalah dengan menyediakan longkang besar yang bertindak sebagai tangki penampung sementara semasa hujan lebat.

Paip FLEXISS ini amat bersesuaian untuk infrastruktur saliran.